Thursday, December 07, 2006

Episod cinta bermula...


Aku mengenali Ahmad Daniel Shah sewaktu di tingkatan empat dan bersekolah di Sekolah Menengah Subang Jaya. Kami dilahirkan pada tahun yang sama, bulan yang sama dan beza tarikh lahir hanyalah 8 hari, mencukupi syarat dia lebih tua dari aku.

Selesai menduduki SPM, lagi beberapa hari keputusan SPM diumumkan Daniel terlibat dalam kemalangan Jalan raya yang meragut nyawa sahabat karibnya, Iqbal. Bermulalah episod cintaku terhadap insan berkerusi Roda. Walau mengenalinya sudah lama tapi cinta hanya bercambah setelah empat tahun peristiwa hitam itu berlalu.

Entah kekuatan dari mana yang aku dapat untuk menyahut sayang dari insan sepertinya. Mungkin sudah ditakdirkan jalan hidupku tidak semudah orang lain. Mungkin kebahagiaan yang aku perolehi adalah dari jalan yang berliku ini. Aku tahu Allah menciptakan setiap makhluk di bumi ini dengan adil. Mungkin kelemahan kami di mata orang lain adalah kekuatan yang kami dapat. Tak semua orang sanggup menghadapi situasi ini. Aku, adalah insan yang terpilih & aku sanggup menghadapinya.

Sememangnya sayang aku terhadapnya bukan hanya dasar kasihan semata-mata tetapi jauh dilubuk hatiku sukar untuk aku perjelaskan kepada orang lain. Perasaan ini terlalu halus, terlalu sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Dalam perasaan itu ada kegembiraan, keceriaan, kepuasan, keinsafan, saling bantu membantu, saling menjaga antara satu dengan lain, sedih, kesukaran, ketakwaan, hiburan, sabar, tabah & banyak lagi yang membina perhubungan kami berdua... pendek kata kami berkongsi suka duka bersama.

Aku tak akan menyalahkan orang lain kerana tidak faham dengan cinta kami kerana mereka tidak pernah (mungkin tidak akan) melalui percintaan seperti ini. Hanya yang melaluinya sahaja dapat merasa kemanisannya. Aku rasa tak ada bezanya hubungan kami, sekadar bercinta dengan orang berkerusi roda. Akalnya sama sahaja. Kesukaran fizikal sudahpun dibalas tuhan dengan perkara lain yang orang lain tak akan perolehi... mungkin ketenangan jiwa...?

Salahkah aku menyayangi orang seperti ini? Kenapa masih ramai orang cuba sedaya upaya mendengar jawapan 'tidak' dari aku... apa masalahnya? Telahpun aku katakan aku sanggup berkongsi segala suka duka bersama, itulah perjalanan hidup yang aku pilih. Doakanlah aku bahagia dengan pilihan hatiku. Aku cuma mengharapkan dipermudahkan segala urusan bersamanya & dimurahkan rezeki.

Aku ingin memberitahu semua orang bila bersamanya aku rasakan satu ketenangan... jauh dilubuk hati aku ingin menjadi seorang isteri kepada Ahmad Daniel Shah. Umurku yang menjangkau 30-an ini barulah aku mengerti erti sunyi yang mungkin dihadapi juga oleh orang yang masih belum berumah tangga sepertiku. Ingin sekali aku melafazkan 'Dialah suami yang amat kucintai'... ingin sekali aku berkeluarga. Tak pernah aku sampaikan keinginanku kepada orang lain... Mungkin yang sesuai untukku hanya air mata.

Pelbagai kata cerca yang aku dapat selama berkawan dengannya. Ada panggilan 'tempang' yang dilontarkan terhadapnya... ada yang membanding-bandingkan pilihanku dengan orang lain... ada yang menganggap pilihanku tidak betul, ada yang bimbang jika aku tidak dikurniakan zuriat... ada yang bimbang jika Daniel terlalu sensitif... ada juga yang malu dengan pilihanku... & antara yang sedih biarlah aku simpan kata-kata mereka semua dalam hatiku. Untuk menceritakan semuanya rasa tak sanggup...

Sehinggakan segala angan-angan indahku untuk melangsungkan hari bersejarah telah lama kututup. Aku terpaksa melupakan majlis indah dengan baju pengantin yang cantik... kerana bagiku kini, jika mendapat restu ayah & bondaku juga sudah cukup untuk aku gembira seumur hidupku... bilalah agaknya, kan!