Thursday, May 29, 2008

Teringin...

Baru-baru ni aku berborak dengan office mate aku, qak@wak. Kitorang cita pasal makanan... selalu jugak apa yang dia pernah makan, aku jugak pernah makan. Tapi ada jugak yang dia pernah cuba, aku tak pernah...

Tapi ada beberapa 2 makanan yang aku teringin gila nak makan dan ianya susah untuk didapati di merata-rata tempat... agaknya kalau tanya dalam 100 orang, yang tahu tentang makanan ini hanya 2/100 orang sahaja... mungkin!

1. Jambu Mawar










Jambu ni rasanya sangat sedap & sangat wangi! Jambu paling sedap pernah aku rasa. Dulu kecik-kecik, jiran aku ada tanam pokok ni... Lebat & rendang... Sebab terlalu suka dengan rasanya, aku pernah curik... hehehe... tapi tu dulu, masa kindergarten! Sekarang memang tak pernah jumpa. Kalau ada orang yang terbaca blog aku, ni tahu tentang buah ni... silalah contact aku... aku nak tanam pokok ni kat kampung!

2. Kerepek Durian
















Rasanya lemak-lemak, manis, masin... macam makan kerepek sukun (tapi bagi penggemar durian, lebih sedap dari segala kerepek)... sangat rangup. Tapi aku tak tahu dibuat dari bijik durian atau durian yang agak muda... sedap gilerrrr!!! Kat malaysia ni tak berapa dikomersialkan... aku makan menda alah ni product dari Thailand, kawan aku pergi sana and beli bagi aku rasa. Kalau sesiapa yang tahu kat mana leh dapat kerepek ni, roger lah aku...!

Tuesday, May 13, 2008

Cincin...

Semalam aku lalu depan jewellery shop... aku nampak cincin berlian, cantik!

Aku berhenti kejap untuk lihat harga. Ada yang mahal, ada yang aku rasa aku mampu beli.

Aku bagi tahu Daniel, aku nak beli, sebab teringin nak pakai...

Dia kata sabar... Dia akan belikan yang lagi cantik, lebih bermakna bila tiba waktunya nanti. Insya'Allah! Bukan dia tak mampu, tapi dia anggap cincin adalah satu hadiah yang sangat berharga untuk diberi kepada aku pada hari yang sangat istimewa...

Aku angguk & terus berlalu...

Dalam hati aku sentiasa berkata... 'bilalah agaknya!'

...Arkkk... cerita ke happa nih???

Pagi Ahad yang indah...

Pagi-pagi lagi aku sudah dikejutkan dengan suara Melina. Harapan untuk bermalas-malas di hari Ahad musnah kerana terpaksa menuruti ragam si kecil.

Sayup-sayup di luar, aku dapat mendengar bunyi orang sedang mengemas. Aku tahu, pembantu rumahku telah lama bangun untuk memulakan tugasannya. Sambil menarik kardigan hitam, sempat aku melirik kepada suamiku, Daniel yang masih berdengkur. Aku mendekatinya lalu kucium dahinya. Perasan akan kehadiranku, Daniel membuka mata sambil tersenyum. Dirangkulnya aku sebentar kemudian meneruskan dengkurannya. Sambil melepaskan rangkulannya, aku berkata dalam hati bahawa dia adalah suami yang baik. Setiap azan subuh berkumandang, dia akan menggerakkan ku untuk menunaikan solat. Jika tiada apa-apa perkara yang perlu dibereskan pagi itu, kami akan menyambung tidur...

Jam menunjukkan hampir pukul 7.00 pagi. Melina, anak kami yang berusia lapan bulan sudahpun tidur kembali setelah mendapat susu.

Seperti biasa aku akan menutup pendingin hawa, mematikan suis perangkap nyamuk, membuka tingkap bilik supaya udara segar memenuhi ruang dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Belumpun sempat aku mengeringkan tubuh dengan tuala, suara Melina kedengaran merengek lagi. Kemudian, aku terdengar suara Daniel mengagah-agah anak kecil itu berselang seli dengan suara pembantu rumah kami yang lebih mesra dipanggil Bibik.

"Wahhh... dah bangun?" Aku menutup pintu bilik air lalu melangkah ke arah mereka.
"Dia nak mandilah, Mama..." Daniel bersuara.
"Bik, kamu udah masak air buat mandi Mel?" Aku menyangkut tuala mandi di atas penyidai dan terus mendokong Melina yang ceria dari dalam dakapan Daniel.
"Udah... sebentar lagi masak!" Bibik menjawab seraya berlalu.

Aku sedikit menjerit memanggil Tipah, seorang lagi pembantu rumah kami yang ditugaskan khas untuk menjaga Melina.

"Tipah, ambil budak ni, tolong mandikan ya, saya mahu urusin abang..."

Tipah menyambut Melina dari tanganku. Kemudian aku menambah,
"Kau bilang sama Bibik, air mandian Mel jangan terlalu panas... ingat tuh!"
Tipah mengangguk dan membawa Melina ke dapur untuk dimandikan.

Aku meneruskan rutin membantu Daniel melakukan senaman ataupun fisio terhadapnya setiap pagi supaya sendi-sendi suamiku itu tidak keras.

Dengan perasaan kasih sayang yang sentiasa mekar dalam hatiku, aku membantunya dengan seikhlasnya. Walaupun tidak dapat berjalan lagi, Daniel tetap suamiku yang sangat bertanggungjawab.

Cintanya padaku sangat aku rasakan dan ianya tidak dapat aku luahkan dengan kata-kata, malah dengan apa cara sekalipun tidak mungkin dapat aku andaikan.

Selesai melakukan senaman, aku mendekatkan kerusi roda suamiku itu di tepi katil bagi memudahkan dia memindahkan dirinya. Aku mengurut-urut mesra kakinya setelah dia duduk di kerusi roda.

"Mol, saya sangat sayang pada awak..." Daniel memegang ubun-ubun kepalaku lantas membuatkan aku mendongak ke arahnya. Aku melepaskan urutan kakinya dan terus duduk di sebelahnya.
"Mol pun sayang sangat pada awak..."Balasku.
"Saya bersyukur sebab awak terlalu memahami. Tak mungkin ada orang yang boleh menggantikan tempat awak Mol, tak mungkin! Awak adalah anugerah terbesar dalam hidup saya!"
"Sayang, awaklah sumber kekuatan Mol... Mol tak dapat bayangkan kalau hidup tanpa awak. Selain mak dengan bapak, awaklah orang yang Mol sayang!"
"Samalah dengan saya, sayang... Kita saling memerlukan antara satu sama lain.."

Aku mengangguk. Dia menggenggam tanganku dan dirapatkan ke bibirnya. Dikucupnya jemariku berkali-kali.

"Sayang, boleh tak Mol guna telefon awak untuk telefon Mak Mol?"
"Ya ALLAH... Mol, kalau nak call mak atau bapak awak, tak payahlah minta izin. Pakai saja... mak bapak awak, mak bapak saya juga..."
"Thank You, sayang!" Aku melompat ke arah Daniel sambil mengucup pipinya.

Dia tersenyum mesra. Aku mengangkat ganggang telefon sambil mendail nombor telefon emakku. Sementara menunggu emak menyambut panggilanku, sempat juga aku menjeling ke arah Daniel. Aku melihat ada air jernih bergenang di matanya!

P/s: Jangan cakap aku jiwang tau... cerita ini hanya sekadar rekaan, tiada kaitan dengan yang hidup atau mati, jika terdapat sebarang persamaan nama hanyalah kebetulan sahaja... harap maklum!!! hehehe...